OXP and OXK News



MALAYSIAKINI-PPIM lancar anugerah syarikat tindas pengguna

  • Zulaikha Zulkifli
  • 5:28PM Okt 18 2012
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini melancarkan Anugerah Organisasi Tiada Kemanusiaan (OXK) dan Anugerah Organisasi Tidak Prihatin (OXP) untuk organisasi yang didakwa bertindak menindas serta mendisriminasikan pengguna.

Ketika mengumumkan anugerah tersebut, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata ia bertujuan untuk menjatuhkan sesebuah organisasi, tetapi bagi mempertahankan hak pengguna.

Bercakap dalam satu sidang di ibunegara, beliau berkata pemilihan calon-calon untuk OXK dan OXP dibuat berdasarkan banyak aduan yang diterima daripada pengguna terhadap organisasi berkenaan.

Katanya, anugerah itu diberi bagi melabel organisasi yang bertindak menindas serta diskriminasi terhadap pengguna.

Sehubungan itu, Nadzim berkata, PPIM mempelawa orang ramai yang merasakan diri mereka dinafikan hak sebagai pengguna, untuk mengemukakan pencalonan terhadap mana-mana organisasi atau individu seperti wakil rakyat atau bos mereka..

Setakat ini, kata beliau beberapa organisasi telah dikenalpasti untuk dicalonkan, berdasar aduan tertinggi yang diterima oleh PPIM terhadap mereka.
Bagaimanapun, Malaysiakini tidak menyiarkan nama organisasi-organisasi tersebut sementara menunggu reaksi mereka.
"Kita banyak terima aduan daripada pengguna tentang sesebuah organisasi. Pengguna dibuli oleh organisasi yang besar yang tak kisah tentang kontrak sosial," tambah Nadzim.
"Bagaimanapun, organisasi yang kita senaraikan, akan berubah-ubah dari masa ke semasa berdasarkan jumlah pencalonan dari pengguna," kata Nadzim.

'Anugerah Kambing' untuk respon paling teruk
Menurutnya, ada kemungkinan beberapa organisasi akan dipilih sebagai pemenang dua kategori anugerah tersebut berdasarkan jumlah banyak aduan yang diterima mereka.

Menurut Nadzim lagi, anugerah tersebut hasil daripada resolusi umum forum pengguna 2012 anjuran PPIM pada Halfest Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Nadzim berkata, mana-mana organisasi yang disenaraikan, jika tidak berpuashati, boleh tampil dan memberi penjelasan kepada PPIM.

Nadzim berkata lagi, "Anugerah Kambing" juga akan diberikan kepada mana-mana organisasi di bawah dua anugerah tersebut yang didapati mendapat respon yang paling teruk daripada pengguna.

Selain organisasi, anugerah ini juga menerima pencalonan untuk individu.

"Kalau rasa benda ini tidak betul, mereka boleh berjumpa dengan kami. Kita terbuka.

"Benda ini bukan sahaja organisasi tetapi kalau tak puas hati dengan bos ke, wakil rakyat ke, mereka boleh beri nama untuk dicalonkan dan kita akan selidik. Kalau betul apa yang mereka cakap, kita akan beri anugerah ini," katanya.

Pengguna yang ingin membuat pencalonan boleh emel kepada consumerforce999@gmail.com atau muslimconsumers@gmail.com

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/212096
Syarikat 'kurang senang' dengan anugerah PPIM



  • Zulaikha Zulkifli
  • 9:23AM Okt 19 2012
  • MALAYSIA KINI

Organisasi yang dinamakan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebagai calon untuk Anugerah Organisasi Tidak Prihatin (OXP) melahirkan rasa "kurang senang" kerana dibariskan dalam senarai tersebut.

Organisasi yang dihubungi Malaysiakini itu juga tidak mengetahui tentang kewujudan anugerah itu dan tidak bersetuju organisasi mereka dicalonkan.

Pengurus pentadbiran pasaraya The Store, Rita Baharudin berkata, beliau bagi pihak pasaraya itu membantah pencalonan tersebut kerana perkara yang dibangkitkan PPIM hanya berpunca daripada "kesilapan teknikal" cawangan pasarayanya.

"Kita tak bersetuju (dicalonkan). Kita tak dapat apa-apa surat. Kita bantah dan akan buat sesuatu.

"Sebelum ini kita ada buat perjumpaan dengan PPIM. Kita sudah beri penjelasan.
"Ia kesilapan teknikal yang dilakukan di beberapa outlet seperti outlet Sri Petaling dan beberapa outlet lain.

"Kami akan berbincang dengan pihak atasan untuk memikirkan apa tindakan selanjutnya," kata Rita ketika dihubungi Malaysiakini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johari menamakan pasaraya The Store sebagai salah satu calon penerima anugerah OXP dalam satu sidang media semalam.

Menurut Nadzim, pasaraya The Store dicalonkan kerana sebuah cawangan pasaraya itu didakwa mengadakan promosi air minuman beralkohol sempena bulan Ramadan.

Sementara itu, pasaraya Giant yang turut dinamakan sebagai salah satu calon oleh PPIM pula menyatakan bahawa mereka tidak maklum mengenai perkara tersebut.

"Kita tak maklum tentang benda ini. Saya kena periksa balik," kata pengurus kanan komunikasi korporat dan perhubungan awam pasaraya itu, Yuswanis Yusof ketika dihubungi.

Selain The Store dan Giant, Nadzim semalam turut menamakan lima lagi organisasi – empat untuk anugerah OXP dan satu lagi syarikat dinamakan sebagai calon anugerah Organisasi Tiada Kemanusiaan (OXK).

Turut dibariskan bersama The Store dan Giant ialah organisasi kewangan Bank Rakyat, firma Malaysian Building Society Berhad (MBSB), penyedia perkhidmatan televisyen berbayar Astro dan agensi tiket, Ticket Charge.

Syarikat Starbucks pula dinamakanya sebagai calon bagi anugerah OXK.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada lima organisasi tersebut yang dinamakan PPIM.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/212119


Starbucks salur wang pada rejim Yahudi




  • Zulaikha Zulkifli
  • 10:39AM Okt 19 2012
  • MALAYSIA KINI

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menamakan rangkaian kedai kopi Starbucks sebagai calon untuk Anugerah Organisasi Tiada Kemanusiaan (OXK).

Menurut mereka, penganjuran 'anugerah sinis' itu didakwa bertujuan untuk mempertahankan hak pengguna.
Ketua aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, kedai kopi itu dicalonkan bagi anugerah berkenaan atas dakwaannya bahawa sebahagian wang mereka diperuntukkan kepada rejim Yahudi di Israel.

"Starbucks memperuntukan sebahagian keuntungan kepada rejim Yahudi sebagai sokongan mereka kepada perjuangan Yahudi. Yahudi juga bersubahat lakukan kezaliman.

"Mereka (Yahudi) membunuh bukan sahaja orang Islam tetapi kanak-kanak juga. Sebab itu kita letak mereka di bawah anugerah tiada kemanusiaan," katanya pada sidang media di ibu negara semalam.

Nadzim juga berkata, mereka menamakan organisasi tersebut berdasarkan aduan yang diterima sebelum ini.

Malaysiakini telah menghubungi Starbucks Corporation melalui alamat emel yang diperolehi melalui laman starbucks.com.my bagi mendapatkan reaksi berhubung dakwaan berkenaan serta pencalonan untuk anugerah tersebut.

Tiada maklum balas diberikan setakat ini.

Selain anugerah OXK, PPIM semalam turut melancarkan Anugerah Organisasi Tidak Prihatin (OXP) bagi kempen ke atas organisasi yang didakwa menindas serta mendiskriminasi pengguna.

Bagi calon anugerah OXP, PPIM menamakan pasaraya Giant, pasaraya The Store, organisasi kewangan Bank Rakyat, firma Malaysian Building Society Berhad (MBSB), penyedia perkhidmatan televisyen berbayar Astro dan agensi tiket, Ticket Charge.

Bagaimanapun, organisasi yang dinamakan PPIM sebagai calon untuk Anugerah Organisasi Tidak Prihatin (OXP) melahirkan rasa "kurang senang" kerana dibariskan dalam senarai tersebut.

The Store misalnya berkata perkara dibangkitkan itu sebagai "kesilapan teknikal" cawangan pasarayanya sementara Giant pula berkata belum maklum berhubung perkara tersebut.

Malaysiakini masih cuba mendapatkan reaksi daripada syarikat lain yang dinamakan PPIM.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/212128
1) IMBAS KEMBALI KENAPA KITA PERLU BOIKOT STARBUCK


 





No comments:

Post a Comment